Bismillahirrahmanirrahim..
Melihat wajah-wajah mereka, terpancar gelisah dan resah yang bakal dilalui. Hari hadapan bukan lagi keselesaan. Bukan lagi selesa duduk di dalam usrah. Bukan lagi satu keselesaan untuk menerima dan terus menerima. Kini, harus belajar untuk memberi. Aku tahu, aku juga pernah merasa perasaan seperti ini..
"ah, aku tidak layak menjadi kader dakwah"
"aku dengan murabbi jauh panggang dari api, bagaimana pula aku ingin menjadi murabbi??"
"aku baru kenal tarbiah setahun, tiba-tiba nak jadi murabbi? apakah..?"
**
MUSIM BUNGA TARBIAH
Ketika dirimu mengenal tarbiah, itu adalah waktu yang paling indah dan manis dalam hidupmu. Dirimu belajar bagaimana mentadabbur ayat-ayat al-quran, dari manusia yang tidak pernah cenderung menghayati makna-makna al-quran, hatimu bertukar menjadi manusia paling sensitif sekali. Kadang dirimu berduka cita dengan teguran Allah yang dirimu tidak pernah disangka-sangka, lalu dirimu berkata beginikah rupanya teguran Allah kepadaku? Akan tetapi selalu juga kalam dariNya itu begitu menyejukkan hati yang sedang lara dan dukacita..
Saat segalanya seakan baru bagimu, engkau belajar untuk menerima dengan hati yang terbuka. Engkau cuba bermujahadah sedaya upaya. Itulah saat pertama kali mengenal cinta Allah juga murka Allah! Cinta dan perasaan kehambaan luar biasa yang tiada tandingan mula menyulubungi hati, keranaNya dirimu bersusah payah meninggalkan jahilliyyah, keranaNya dirimu bermujahadah menjaga mutabaah amal, umpama.. segala-galanya adalah keranaNya..
TERJERAT DALAM DAKWAH
Bagaikan orang mabuk cinta, cinta yang membekalkan perasaan yang luar biasa. Namun, tidak selamanya perasaan cinta itu membekalkan perasaan yang membahagiakan, kerana cinta luar biasa itu sentiasa menuntut pengorbanan. perkataan yang begitu mudah dilafazkan bukan, "cinta dan pengorbanan tidak dapat dipisahkan", Namun, untuk merealisasikan, yang pasti mujahadah manusia itu berlainan. Ada yang berkobar-kobar, ada yang takut-takut, ada yang masih belum bersedia, ada juga yang sudah lama terjerat di dalam tarbiah tapi hatinya masih belum terjerat dengan dakwah!
(Allah, yang menulis sendiri takut....)
CINTA ALLAH BUKAN MILIKMU SEORANG
Hakikat yang pasti, cinta Allah itu bukan milikmu seorang, cinta itu harus ditebar sehingga setiap manusia merasakan. Tahu, perasaan itu membuat engkau rasa manusia paling lemah dan tidak layak. Namun, biarlah tidak semua manusia mampu engkau sentuh hatinya di dunia ini, kerana yang pasti hidayah itu milik Allah, tapi izinkanlah yang menjadi wasilahnya adalah dirimu..biarlah walau cuma seorang yang cuba dirimu dekati keranaNya, biarlah.. walau ia tidak menjadi pengetahuan manusia, asalkan di sisiNya engkau cuba untuk mendapatkan pandangan dariNya..
Pandangan yang paling indah..itu bukankah pandangan dari Allah?
LEMAS DALAM DAKWAH
Mungkin di satu saat itu semakin lama dirimu merasakan semakin berkurangnya rasa seronok dalam tarbiah. Tiada lagi istilah selesa. Perkataan dakwah pasti tidak lepas didengari di dalam usrah, sehingga semakin lama dirimu berasa lemas dan panas telinga mendengarnya. Semangat yang membara dahulunya, kini seakan memudar, apabila dirasakan dakwah dan aku "ah, aku dah tak larat dah!"
Mungkinkah kebergantungan kita pada Allah sudah hilang?
Atau lebih tepat mudah merasa putus asa?
Seringkali dirimu memberi alasan kepada hati, mungkin kerana dirimu belum sepenuh jiwa melaluinya, sehingga syaitan menjanjikan ketakutan yang melampau-lampau, sedangkan kemanisan itu lebih banyak yang akan dirasai. Kemanisan itu tidak semestinya berbentuk kebahagiaan, namun bukankah ia dapat dirasakan setelah melalui peritnya kepayahan? Bukankah Allah yang akan memperbaiki amal-amalmu setelah dirimu berkata perkataan yang benar?
Dakwah itu sukar terutamanya ketika engkau mahukan dia (mad'u) mengenal Tuhan, dakwah itu tidak pernah mudah ketika engkau mahukan dia pula menjadi kader dakwah, benar, dakwah itu selalunya menemukan kehampaan, tapi di situ jugalah engkau akan menemui pelbagai kemanisan..
Yakinlah di sebalik biji pahit yang ditanam nescaya akan menghasilkan buah kemanisan!
1 comment:
:)
Post a Comment