Wednesday, October 10, 2012

Bukan Semudah itu Mengikat Janji


Dari jarak dua meter, matanya kurenung dalam-dalam. Bagaikan ada rindu terpendam, terpaksa aku rungkaikan. Dia pun begitu, membalas sambil mengukir senyuman. Seakan tiada penat, letih dan lesu mengisi hari-harinya. Hampir seminggu yang lalu kami berempat pulang ke rumah tiada sambutan darinya hari itu. Ya, aku tahu majlis penutup AHLAN bagi sambutan mahasiswa baru, pasti menuntut dirimu sepanjang hari di sana. Kesibukan yang melanda dirimu tiada henti di medan itu begitu mengundang hiba di hati. Kini, waktu seakan kurang untuk kita bersama berkongsi cerita sedih dan tawa. Tapi bukan hibaku kerana sedih mengenangkan kekangan masa kita bersama. Bukan itu..nyataanku di sini bukan juga aku ingin memuji... tapi rasa hiba itu kerana kekaguman yang menyelinap dari rongga hati.


Kau begitu kuat, temanku! Kakimu sentiasa melangkah untuk suatu perjuangan yang begitu jelas aku kira. Aku masih ingat dahulu, engkaulah yang beria-ia mengajak aku menonton rancangan "running man". Itulah kali pertama dan kali terakhir seingat aku. Terpengaruh aku seketika merasakan keseronokan "game" ala-ala tresure hunt yang disertai pelakon-pelakon korea barangkali. Malam itu kita bergelak sakan seakan lupa akan kemanisan syurga yang didamba. Malam itu kita juga lupa akan api neraka yang mungkin membaham kita suatu masa! Nauzubillah..Terasa jahiliyyah begitu melekat kuat bagaikan "swing gum" melekat pada tapak kasut. Dibiarkan pasti terus berada di situ. Pasti jelek kelihatan pada pandangan Tuhan. Ditanggalkan pula amat payah namun amat perlu! Tapi..segalanya seakan mudah untuk ditinggalkan bila kita sama-sama mengenalpasti jahiliyyah seterusnya bersama-sama meninggalkannya. Ya, bukankah apa-apa yang bukan padanya ada islam adalah jahiliyyah?
Kini, tiada waktu untuk dirimu bersenang seketika. Aku tahu dirimu telah berbaiah di medan itu, mengikat janji setia sepertimana sirah Rasulullah di dalam perjanjian Aqabah kedua. Perjanjian yang begitu berat berbanding  perjanjian Aqabah yang pertama. Perjanjian sumpah setia kepada Rasulullah, mendengar dan mematuhi dalam keadaan segar dan malas, berinfaq  semasa susah dan senang, dan berjuang kerana Allah tanpa mempeduli kecaman orang. Bukan semua orang mahu dan mampu untuk berbai'ah seperti itu..Aku tahu, beban tanggungjawab bai'ah begitu menuntut segalanya darimu..

**

Semalam aku ke Rufaida, mengenangkan seorang teman yang menuntut aku ke sana. Rindu katanya. Kebetulan ada teman serumahnya datang singgah ke rumah terus mengikut dirinya pulang ke rumah. Tapi Rufaida juga tidak lengang. Waktu temanku itu juga tidak lengang. Seharian menghadiri entah berapa sesi meeting. Banyak perlu direncana. Ya, aku tahu memang banyak. Sekali lagi aku merasa hiba. Merencana sesuatu untuk Islam pasti mendapat ganjaran mulia di sisiNya. Tapi hati perlu sentiasa ikhlas, sesuatu yang sukar dicari, hanya Allah yang Mengetahui. Aku sentiasa diingatkan supaya berdoa dikurniakan kesabaran dan keikhlasan sepanjang jalan. Ibarat semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di malam yang kelam, begitulah perumapamaan yang aku pernah dengar.Kemudian, kelihatan juga adik-adik Medik Mesir menumpang di Rufaida. Kasihan, rumah yang mereka sewa masih belum boleh dimasuki, terpaksa menumpang barang seketika di sana.

" saya takut...saya takut satu hari nanti saya akan futur(putus asa) di jalan ni" mendengar luahan seorang sahabat lain pula di Rufaida, begitu membuat aku merenung ke lantai. Masakan aku mampu berkata apa-apa kerana aku belum melalui fasa mencabar seperti itu. Barada di tahap ini sudah cukup aku berunding banyak kali dengan diri. Patutkah aku terus berada di sini, atau aku akan terus menjadi benih yang tidak menjadi.  Aku tahu...ketika diri telah berbai'ah, mengikat janji setia untuk mendengar segala, "sami'na wa a'ta'na" (kami dengar dan kami patuh) pasti banyak mehnah, cabaran ujian yang bakal ditempuh. Apakah andai hidup hanya mahu bersenang lenang, bersusah payah untuk membaiki kehidupan sendiri di dunia. Ah, aku bertanya pada diriku sendiri...Mampukah aku untuk menempuh cabaran-cabaran itu untuk memperbaiki kehidupanku nanti di sana...yang kekal abadi? ya Rabb..

Ya, seperti kata al-abbas bin Ubbaddah..."Sekiranya harta kamu kehabisan di masa itu kamu serahkan lelaki ini (Rasulullah) maka sekarang ini tidak usahlah kamu berbai'ah, kerana demi Allah ini adalah sebesar-besar malu di dunia dan di akhirat, maka sebaliknya mulialah jika kamu setelah kehabisan harta kamu masih terima (Rasulullah)." 

Temanku, aku juga sepertimu. malah ketakutanku mungkin jauh lebih besar. Aku takut keluhku lebih banyak dari ikhlas. Aku takut diriku akan jatuh terbungkam saat lelah tidak mampu lagi bertahan. Aku takut aku mendapat malu seperti yang dikatakan oleh al-abbas di atas itu. Aku takut andai nanti kita dicampak nanti aku pula yang bersembunyi lari untuk mengecap keselesaan dunia..

Temanku, aku nukilkan sebahagian dari hati di sini, agar engkau turut mendoakan diriku di dalam doamu. Temanku di sini, doakan aku walaupun aku cuba untuk berjuang di medan yang bukan sama denganmu. Temanku jauh di sana, doakan aku walau jarak dan waktu memisahkan kita. Temanku yang tidak serapat mana, doakan aku walau kita tidak begitu kenal sedalam-dalamnya. Doakan aku kerana mana tahu doa darimu lebih didengari olehNya. Yang pasti doamu ibu yang sentiasa aku harapkan. Doakan aku beserta teman lain agar sentiasa diberi kekuatan untuk itu..

Cuti yang lalu, ada seorang teman bertanya padaku, kenapa ya, ada orang nak jadi baik untuk mereka-meraka sahaja (secara tepat,ada jemaah) kenapa tak menyeluruh, semua orang patut rasa benda yang sama. susah, begitu susah untuk menjawabnya..aku tak tahu tapi mungkin jawapannya ada dalam buku ini "at-tariq ilal qulub, jalan menuju ke hati" atau tajuk buku terjemahannya "bagaimana menyentuh hati" mungkin dapat merungkai persoalan itu..aku tak ingat sangat tapi aku cuba petik sedikit kata abbas assisy.."mungkin lambat asalkan kita dapat..." ah, aku tak ingat secara tepat kata-kata itu.. tapi temanku cubalah engkau cari..wallahualam

2 comments:

humaira said...

perkataan baru ni'swing gum' :)

suka hasil tulisan awak. bahasanya indah seperti penulisnya. jatuh hati saya dibuatnya.^^

bintu fatimah said...

Jgn puji sy..doakan sy, humaira..