Pages

Sunday, October 21, 2012

Gerabak Cinta Kita


Temanku, datanglah kemari seketika.. aku tahu aku bukan siapa-siapa, bukanlah yang terbaik untuk meceritakan sesuatu padamu, akan tetapi marilah duduk seketika bersamaku, lututmu bertemu lututku, bayangkan cuma itu, temanku... Akan tetapi bukan jasadmu yang utama kupinta, tapi biarlah jiwamu, biarlah jiwamu hadir untuk merasakan sesuatu untuk saat ini. Aku tahu, pasti engkau rindu saat-saat itu, saat kita bersama-sama cuba untuk mendidik jiwa. Aku tahu, jiwamu seakan menangis, seakan merintih tatkala engkau sedari akan sesuatu.. Aku juga tahu, pasti engkau pernah merasakan manisnya saat itu, tatkala hatimu disentuh oleh sang Pencipta. Bagaimankah perasaan itu ya, aku tahu ia amat sukar digambarkan, hanya engkau yang mengerti perasaanmu ketika itu, bukan..? Mungkin, mungkinkah perasaan itu tidak sama, tatkala hatimu yang kadang disentuh cinta manusia?

cinta apakah yang paling jernih 
& paling indah? 

Temanku, maafkan aku andainya aku bertanya ini..agak-agaknya...saat ini bagaimanakah kita kini pada pandangan Tuhan? Sungguh aku takut bertanya soalan ini sebenarnya, kerana yang paling dekat mendengar tulisan hatiku adalah diri aku sendiri. Boleh jadi akulah orang yang paling hina sekali.. Tapi izinkan aku untuk kali ini, izinkan  aku bertanya padamu temanku, bagaimanakah hari-harimu dilalui. Adakah biasa-biasa sahaja, atau ranjau dan duri yang engkau terpaksa tempuhi saban hari?

Temanku, pernahkah engkau mendengar kisah ini? Kisah seorang hamba yang sentiasa berdoa. Doanya saban hari tiada dikabulkan. Bukanlah kerana dia seorang pendosa, malah hamba yang penuh taat pada Tuhan. Tapi, mengapa ya, mengapa tiada dikabulkan permintaannya itu, temanku? Ketahuilah temanku, bahawa Allah amat merindukan rintihan hambaNya. Ditangguhkan permintaan hambaNya untuk satu waktu agar Dia sentiasa dapat mendengar, kerana Dia begitu rindu mendengar doa hambaNya yang satu ini, tidak mahu hambaNya yang soleh itu lupa padaNya lupa walau seketika..

Kemudian, ada seorang hamba yang satu lagi, juga berdoa kepada Allah, memohon dikabulkan segera permintaannya itu. Lalu, Allah segera mengabulkan permintaannya itu, kerana rupanya Allah tidak suka lagi padanya. Allah tidak mahu mendengar rintihan hambanya yang satu ini yang meminta-minta tetapi bertaubat tidak mahu pula. Mengapa ya…boleh jadi kerana dosanya, lalu Allah biarkan dia terus dalam kenikmatan, bukankah ini dinamakan istidraj, temanku?


Temanku aku pasti cuma kisah ini cukup untuk membuat dirimu mengalirkan air mata. Menangislah sepuas-puasnya untuk kali ini, kerana aku juga pernah juga menangisi mengenangkan kisah ini, menangislah kerana pasti sudah lama Dia merindukan tangisan yang benar-benar datang dari lubuk hatimu. Malah aku juga ingin sekali menangis lagi dan lagi walaupun payah, walaupun berkali-kali aku dengar kerana aku sendiri takut seandainya aku menjadi hamba yang kedua itu, apatah lagi seandainya ada dosa yang aku perbuat tetapi aku sendiri tidak ketahui dan sedari…ya Allah, kami pinta..kami pinta kurniakanlah kedudukan istimewa di sisiMu, maka apakah Engkau tidak mahu lagi mempedulikan kami?

Ketahuilah temanku, Allah itu sifatNya Maha Pemalu, ketika hambaNya yang bertaubat itu meminta, Dia lebih malu pada hambaNya. Dia lebih malu apabila permintaan hambaNya itu tidak dikabulkan. Tapi temanku, apakah bezanya..hambaNya yang pertama yang aku ceritakan di awal kisah sehingga Allah menangguh dikabulkan doa hambaNya..kerana cintaNya pada hamba yang satu ini tidak seperti kebanyakan manusia yang lain..

Wallahua'lam..

No comments: