Pages

Thursday, September 27, 2012

KEAZAMAN PERLUKAN STRATEGI


Temanku, sudikah lagi engkau duduk bersamaku mendengar cerita dariku? Aku tahu jarak tempat dan waktu begitu memisahkan kita. Aku tahu kesibukan yang engkau alami mencuri masa kita. Akan tetapi berikanlah sedikit ruang kepada hatimu, supaya jauh sedikit dengan kesibukan dunia. Berilah ruang pada hatimu untuk berehat sebentar di dalam taman-taman syurga. Sedikit bekalan ini aku cuba sisipkan di halaman ini dengan harapan engkau memperoleh sesuatu. Apa yang aku miliki di dada begitu sedikit. Pun begitu, aku mahu engkau menjadi orang yang sentiasa merasakan bahang yang sama, agar kita sentiasa terlepas dari kejahilan…

-taman syurga pastinya lebih indah dari yang ini-

Sebelum aku pergi jauh, aku teringat pada suatu petang, aku singgah ke rumah temanku ini, selalu aku ke sana selepas pulang dari universiti. Dia rakan sekelasku, kami bukanlah teman yang akrab tapi aku senang dengannya. Di sana, aku selalu duduk mengulangkaji. Tapi petang itu tidak seperti biasa, aku pulang ke rumah dengan hati ketakutan, ketakutan yang amat dahsyat aku sekali kira. Menggigil-gigil aku menuruni tangga rumah flat yang begitu suram itu. Terbayang-bayang kisah yang diceritakan sahabatku petang itu.

‘Hari-hari dalam hidupku’ itulah tajuk buku yang dirumuskan oleh temanku itu. Kisah benar seorang mujahidah Islam tercatit hari-hari yang penuh dukacita. Zaynab al-Ghazali, seorang wanita Mesir persis pejuang wanita Islam sezaman dengan Rasulullah. Dia dipenjara dan diseksa dengan begitu kejam. Disiat kulitnya dengan anjing tiada simpati, direndam tubuhnya di dalam air sejuk  bagaikan sudah hilang perikemanusiaan pembuatnya. Hanya semata-mata kerana teguh dan nekad menyebar dakwah juga memperjuang hak-hak wanita pada ketika itu…

-hari ini pertama kali juga aku melihatnya,
 sekarang telah kembali ke rahmatullah-

Temanku, hari itu aku bingung memikirkan. Masakan begitu dahsyat sekali perjuangan wanita itu. Masakan juga begitu dahsyat sekali mereka ‘melibas’ dirinya. Aku bingung hari itu, kerana begitu enak sekali aku hidup tenteram. Hidupku tiada liku seperti wanita itu. Hanya diberi suap kisah sirah itu dan ini. Kemudian, ke kuliah seperti biasa. Penat, stress menjadi rutin harian kehidupan. Untuk mengucapkan kata nasihat kepada teman, dijentik sedikit kulitku tiada siapa yang berani. Apakah yang telah aku lakukan di bumi Allah ini untuk menegakkan syiarNya? Amat sedikit sekali berbanding wanita itu..

Temanku, aku pasti engkau merasakan perkara yang sama bukan? Ya, tidak perlu berdalih. Pasti pada dirimu akan ada nafsu ‘lawwamah’ ini (nafsu mencela diri sendiri). Bukankah nafsu ini akan menjadi penggerak buatmu? Penggerak buatmu agar engkau tidak hidup statik dalam duniamu sendiri sahaja. Akan tetapi pandulah nafsu ini dengan gerakan iman. Gerakan iman akan buat dirimu tenang, merencana sesuatu yang lebih penting untuk diuruskan. Ya, sekarang adalah waktu untuk engkau merencanakan sesuatu. Usah lagi mencela dirimu, usah lagi temanku..

Temanku, akan tetapi rencanamu biarlah punya strategi dan dalam rundingan dengan teman yang lain kerana mungkin impian dan angan-angan akan lunyai seandainya sendirian. Ingatkah engkau akan kisah pakatan pemuda-pemuda Quraisy yang tidak bersetuju dengan pemulauan yang dilakukan terhadap Bani Hasyim ketika itu? Ya, pemulauan yang selama tiga tahun itu. Setelah tiga tahun, salah seorang dari mereka (penduduk Quraisy yang masih tidak memeluk Islam pada ketika itu) tidak tahan lagi dengan piagam yang dibuat Abu Jahal bersama sekutunya. Dia mahu bangkit menentang piagam tersebut, tidak sanggup lagi melihat Bani Hasyim menderita kelaparan. Akan tetapi, bangunnya bukan sendiri tetapi dikumpulkan teman-teman buat menyokong usaha murninya. Dipanggil seorang, tidak cukup..maka dipanggil yang lain lagi, maka tidak cukup, ditambah-tambah lagi sehingga cukup suara mereka menentang Abu Jahal yang jahil itu...

Temanku, bukankah ini boleh diaplikasi untuk menentang jahilyyah moden yang melarat hari ini? bilamana dirimu merasakan tidak siap andai sendirian. Jika sendirian engkau mampu, teruskanlah, jadilah seperti Umar..bilamana dirinya memeluk Islam, ketika itu buat pertama kali orang Islam mulai berani diri bersolat di hadapan Kaabah dengan saranan Umar... (kecuali Rasulullah yang memang dari mula solat di hadapan Kaabah) 

Temanku, cukuplah kali ini. Aku pasti kau belajarlah sesuatu darinya...

No comments: