Pages

Thursday, March 29, 2012

siapakah engkau wahai ihsan..


Pertemuan di kala sore itu bagaikan ada sesuatu..

Petang itu hanya kami yang ada di ruang itu. Dinding batu memisahkan ruang musolla perempuan dan lelaki. Mana mungkin ada manusia di sebalik sana yang mendengarkan perkataan kami.


Masjid Bakri berhampiran Nur Islam Center menjadi pilihan sang murabbi. Inilah kali pertama akak bercadang untuk mengadakan pertemuan di masjid. Kata akak seronok sangat masjid ni..bagai ada sesuatu yang tersimpan.. Tertanya-tertanya apalah yang ada dengan masjid kecil ini..ruangan musolla perempuan pun tidaklah besar mana..lebih kurang sebesar ruangan di surau-surau qaryah di Malaysia saja..dah lama katanya nak buat dekat situ..

Seperti dijanjikan jam 5 hadir mereka satu persatu. Semua telah tiba namun, masjid masih berkunci. Barangkali akan dibuka hendak magrib nanti. Akak mahu juga dibuat disitu, dicari juga pemegang kunci masjid..syukur apabila akhirnya diketemukan..

Rutin dijalankan seperti biasa sehinggalah azan maghrib berkumandang..Sebelum itu, tafsir surah an-naziat ayat satu hingga empat belas dikupas satu persatu. Tiada yang ditinggal, ketika Allah bersumpah dengan malaikat pencabut nyawa untuk memberi persediaan kepada hati, agar hati merasa takut menghadapi akhirat kelak..

Selesai itu…bagaikan ada sesuatu Yang Maha Pengasih itu mahu tunjukkan..

Usai azan magrib berkumandang, kami solat berjemaah di situ. Sudah sekian lama tidak bertandang ke masjid di malam hari mendengarkan alunan sang imam mengetuai jemaah solat. Ada kejadiaan selepas itu, yang memberi kesan pada hati-hati kami. Seakan sang imam mendengarkan perkataan kami sebelum itu, selesai mengalunkan bacaan al-fatihah, sang imam menyambung bacaan baki surah An-naziat hingga ke sudah.. benar-benar disambung pada ayat yang ke-15! subhanAllah…perkataan apa yang ingin Engkau sampaikan kepada kami..keberkatan yang tidak dilihat itukah..keberkatan yang tidak dilihat oleh sepasang mata itukah..bahawa bukan hanya kami yang mendengar perkataan kami sendiri..

Kemudian…akak bercerita pula kisah bapanya ketika menunaikan haji/umrah (tak pasti). Setiap kali sebelum subuh bapanya akan solat tahajud enam rakaat, dan setiap rakaat akan dibaca satu muka Surah Yasin. Istiqamah dilakukannya setiap hari. Namun, ada satu hari bapanya lewat bangkit sedikit. Maka, hanya empat rakaat yang sempat dikerjakan. Sedih hati bapanya tidak terkira lagi..sangat terkesan bagaimana pula dengan kita yang merasa cukup dengan ibadah selama ini..


Tapi kesudahannya tidak berhenti di situ. Seolah-olah Allah ingin memujuk hati bapanya, imam solat subuh di masjid itu menyelesaikan baki dua muka surat lagi bacaan Yasin itu..maka genaplah bacaan Yasin dalam solatnya..ketika itu berjurai-jurai air mata sang bapa itu..


ya Allah, kisah ini Kau sampaikan kepada kami supaya Engkau beritakan kepada kami bahawa sesungguhnya Engkau Maha Mendengar…sungguh Engkau mahu menyatakan bahawa ketika kami cuba mendekati Engkau, Engkau juga akan datang menghampiri kami, ketika bila mana kami ketika itu tidak mampu melihat Engkau..

Wahai ihsan, hadirlah…


# pengertian Ihsan : Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau. (rujuk hadith arbain yang kedua)

No comments: