Pages

Wednesday, January 30, 2013

Aleesya Mencari Cinta-bhgn 1


Ombak tiada nampak pasangnya, tenang sahaja. Matahari pula sudah mulai membenamkan diri. Dari tadi Aleesya duduk di batu besar yang tercurah di sisir pantai, memaknai kehidupan yang masih belum jelas padanya. Buat seketika, burung-burung melintasi langit yang sudah merah, mahu terbang pulang kembali ke sarang agaknya. Aleesya teringat akan satu hadis nabi kisah bagaimana tawakalnya sang burung akan rezeki yang Allah pasti bagi..

Ya, alam sentiasa memberitahu sesuatu!


Petang itu Aleesya gembira. Cendawan goreng tepung dan pisang goreng kegemarannya dibeli si ibu. Petang-petang begini selalu Aleesya dibawa ibunya ke laut. Kata ibu, dapat pahala tengok laut. Gadis sunti belasan tahun itu masih tidak matang pada pandangan si ibu, mungkin atau sebaliknya. Entah, Aleesya tidak tahu. Cuti sekolah hujung minggu waktu yang dinanti Aleesya untuk pulang ke rumah. Menatap wajah ayah dan ibu suatu kepuasan. Tambah-tambah Aleesya rimas dengan peraturan asrama. Kalau ikutkan kemahuan setiap minggu Aleesya hendak pulang!

Bu, susahkan nak jadi macam tu? Macam wanita pertama yang masuk ke syurga tu?..sampaikan Fatimah pun cemburu padanya..

-sering kudengar, menjadi wanita syurga itu mudah..
tapi lebih indah rasanya menjadi 
wanita syurga yang menggegar dunia..-

Sambil menghabiskan saki-baki kerak goreng pisang yang rangup itu, Aleesya teringat jumaat yang lalu waktu zohor ketika semua pelajar lelaki pergi menunaikan solat jumaat. Seperti biasa pada hari jumaat akan ada diadakan usrah di musolla. Hakikatnya, bukanlah kesukaan Aleesya pergi usrah kerana waktu tengahari begini apatah lagi hari jumaat waktu yang sangat sesuai untuk memejamkan mata. Dalam nada terpaksa Aleesya menggagahkan juga kakinya kerana tidak mahu namanya tercatat dalam buku tiga lima pengawas. Namun, ada sesuatu di situ yang menarik perhatian Aleesya.

Wajah itu membeningkan sesuatu. Bagaikan tidak terluah, kenapa dengan kakak itu? Beremosi semacam! Bisik Aleesya ke dalam hatinya sendiri. Seperti ada kesal, adakalanya seperti mahu menangis. Begitu menjiwai setiap kata yang dilontarkan, membuatkan Aleesya bagaikan rasa terpukul jiwanya. Aleesya turut serta dalam alunan emosi yang tercipta!

Kata-kata yang diucapkan bagai mendesak Aleesya berfikir sesuatu, sesuatu yang belum pernah difikirkannya selama ini. Namun, masih belum jelas...

Sebab Allah nak pilih seorang hambanya supaya menjadi contoh tauladan untuk kita semua..” kata si ibu mengukir senyum.. mematahkan lamunan Aleesya sebentar tadi.

Aleesya membalas senyuman mengangguk-ngangguk perlahan,cuba memahami kata-kata ibunya. Dalam masa yang sama rasa mustahil masih berbaki, adakah wanita seperti dia lagi di dunia ni..apakah Aleesya mampu manjadi seperti wanita itu..cinta dan taat pada suami sebegitu rupa..mengiakan segala yang padanya Allah redha. Sedangkan pada hari ini banyak isteri yang juga mahu menang dalam bicara!

-dirimu bukan bidadari, 
akan tetapi dirimu ketua segala bidadari..-

Aleesya memujuk hati. Bukan memujuk hati sebenarnya.. cuma dia cuba mendidik diri. Benarlah, Allah jadikan hamba yang paling dekat denganNya agar manusia tidak pernah putus asa belajar darinya...

“Ya…masih ada, walaupun tidak sehebat Siti Muti’ah!”

..akan bersambung, 
In shaa Allah..

(sudah lama tidak menulis.. mungkin mencari ikhlas yang tidak mungkin bersua mata..ketika ini di tanah air, menyesakkan dada membaca akhbar-akhbar tempatan, melihat berita apatah lagi, bagaikan sudah sebati tertanam pada minda masyarakat, membiarkan entah kabus apa yang menghalang pandangan..ketika mencerahkan pada masyarakat bukan mudah, perlu ada hujah dan perlu menyingkirkan perasaan benci yang mungkin ada di dada, agar mereka dan kita sendiri akur akan hakikat kehidupan yang  bagaimana sebenarnya didamba..adakah membiarkan gadis seperti Aleesya yang tercari-cari makna kehidupan, yang masih tidak jelas padanya? ataupun akan terlihat jiwa seperti jiwa kanak-kanak Palestin yang tanpa duka mengatakan "Abi fil jannah" ?...apapun cerpen hanyalah rekaan semata-mata. ^^

waallahua'lam..

No comments: