artikel oleh : Adibah Aminah Mohd Amin
Timbalan Ketua Unit Ekonomi PCI
Pada suatu pagi yang hening di dalam kelas, seekor lalat berterbangan dengan jayanya dan mengeluarkan bunyi yang mampu menguji kesabaran para pelajar. Namun perhatikan situasi di bawah:
Situasi A: Ish lalat langau luncai! Kuang hajo ko! Mak ko tak ajar dok diam ke ha? Aku sepuk biaq mati karang!
Situasi B: Bersabarlah wahai hati, mungkin Allah hantar lalat ini kepada aku supaya aku sentiasa cergas dengan menggerakkan anggota tubuh untuk manghalaunya pabila ia hinggap di mukaku untukku terus segar tanpa mengantuk.
Letakkan diri anda. Di manakah anda?
Ujian itu indah. Sabar itu nikmah.
Tidak ramai yang mampu mengucapkan atau berfikir sedemikian rupa seperti dalam situasi B. Tidak ramai yang mampu mensyukuri segala apa yang dihantar oleh Allah di muka bumi ini. Tidak ramai yang mampu berfikiran positif apabila ditimpa sesuatu musibah.
Kehidupan ialah satu medan untuk Allah menguji para hambaNYA. Ujian yang dihantar membawa mesej Allah yang tersembunyi; untuk mencari dan membangkitkan dan mengetuk pintu-pintu hati para hamba yang tersasar dari landasan iman. Orang yang berjaya akan melihat ujian sebagai perhiasan dan warna-warni kehidupan, sebagai suatu makanan hati yang mematangkan.
“Berpenat lelahlah kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kepayahan. Jangan berdukacita kerana hidup ini memang meletihkan sebab demikian hidup itu diciptakan.” (IMAM SYAFIE)
Renungi CIPTAAN PENCIPTA
Lihat pada langit. Indahnya langit biru membawa bersama awan berarak mematuhi Allah yang SATU.
Lihat pada gunung. Gagahnya gunung yang tegak berdiri mengandungkan isi-isinya atas kuasa Allah yang SATU.
Llihat pada laut. Luasnya hamparan laut yang tenang berkocak hebat bergelora mentaati suruhan Allah yang SATU.
Andai kita mentafsir setiap ciptaan Allah di atas muka bumi ini dengan mata hati, SUBHANALLAH tidak tertanding dek apa pun akan sekalian makhluk ciptaanNYA. ALHAMDULILLAH pemurahnya Sang Pencipta.
Kembali kepada situasi B; hamba tadi melihat hymenoptera tersebut sebagai makhluk Allah yang dihantar untuk menguji sejauh mana kesabarannya. Dia malah menjadikan lalat tersebut sebagai sebuah pertolongan Allah untuk dia kekal segar untuk menuntut ilmu. Wahai sahabat, berhentilah berangan-angan kosong dan renungilah segala sesuatu di muka bumi ini diciptakan atas sebab yang satu; supaya para hamba memikirkan kekuasaanNYA. Andai anda mampu melihat sesuatu ciptaan dan ujian sebagai tanda kasih sayang Allah, maka ucapan saya, selamat datang ke taman syurga. SUBHANALLAH; Maha Suci ALLAH!
Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka?, Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan.Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya. (AR-RUM;8)
Tika kau lemah, jadikan Allah sebagai tempat untuk meluah rasa. Tika kau goyah, kau perlu kuat kerana kau pembawa Agama. Tika kau rebah, kau harus tabah kerana kau mujahid muda. Ingat, kegagalan adalah kejayaan yang ditangguhkan, jangan berputus asa! Sesungguhnya orang yang berputus asa itu jauh dari rahmat Allah SWT. Sungguh Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.
WALLAHU SUBHANAHU WATAALA A`LA WA A`LAM
No comments:
Post a Comment